APA ITU KARYA INDIE ?
Kata
“indie” berasal dari kata “independent” yang mempunyai maksud kebebasan, atau kemerdekaan
.Pada zaman kebebasan maklumat dan bersuara hari ini, masyarakat dunia semakin
bebas meluahkan idea dan pandangan hidup mereka dalam sesuatu isu. Setiap orang
boleh menjadi penulis dan menerbitkan tulisannya dengan lebih mudah berbanding
zaman dahulu. Dalam dunia penulisan hari ini, sejenis penulisan baru yang
digelar sastera atau penulisan indie telah menjadi seperti sebuah fenomena. Ramai
penulis baru yang tidak dikenali telah muncul dan menjadi popular dengan
buku-buku mereka.
Apakah
sebenarnya yang dimaksudkan sastera indie ini? Jika hendak dimaksudkan istilah
indie kepada proses penghasilannya, iaitu menulis, menerbit dan memasarkan
sendiri, istilah itu sebenarnya tidak begitu realistik dengan keadaan sebenar.
Ini kerana rata-rata penulis indie ini tidak menerbitkan karya mereka sendiri,
melainkan hanya segelintir yang melakukannya. Majoriti mereka masih menerbitkan
di bawah label penerbitan orang lain. Sastera indie lebih tepat jika
dimaksudkan kepada suatu genre penulisan baharu yang tidak mempunyai sebarang
bentuk yang jelas dan dikenali sebelum ini. Bukan seperti cerpen, sajak,
biografi, novel atau karangan ilmiah lain, seperti yang telah diterima umum
sebelum ini. Walaupun ia sebuah novel atau sajak, ia tidaklah seperti sajak
yang umum kita ketahui seperti sebelum ini.
Karya
indie ini adalah daripada himpunan tulisan yang bermula di Facebook, blog dan
Twitter. Ia tidak mempunyai suatu ciri-ciri penulisan yang tertentu. Ada yang
bersifat sarkastik, memberontak, maki-hamun, jenaka, menentang establishment,
catatan diari, nasihat agama, kata-kata pendek, catatan perjalanan dan
sebagainya. Dengan kemudahan mencetak yang murah dan cara promosi yang meluas,
misalnya melalui media sosial seperti Facebook atau Twitter, kemunculan
karya-karya yang dipanggil indie ini semakin mendominasi, bahkan menyaingi
jualan dan populariti karya-karya arus perdana. Ia telah menjadi suatu fenomena
semasa. Ramai penulis baru dikenali melalui cara ini. Tidak seperti dahulu,
penulis biasanya bermula daripada akhbar dan majalah-majalah arus perdana.
Selama
ini menerbitkan buku adalah perkara yang agak susah, melalui tapisan yang rumit
dan memakan masa yang lama. Ia tertakluk kepada genre, polisi dan kualiti yang
dikenakan oleh pihak penerbit. Hari ini semua ini dapat dilanggar dengan begitu
mudah sahaja. Sesiapa sahaja boleh menulis dan menerbitkan buku jika mempunyai
wang. Majoriti penulisnya pula adalah muda belia yang selama ini ada yang tidak
dikenali langsung. Pada masa dahulu orang yang sudah terkenal dalam bidang
masing-masing yang menulis buku untuk kongsikan pengalaman dan pandangan hidup
mereka, tetapi pada hari ini orang yang tidak dikenali menjadi terkenal kerana
buku yang mencatat pandangan dan pengalaman hidup mereka.
Karya
indie ini ditulis dan diterbit secara bebas, karya-karya ini banyak yang
“kesat”, luahan mentah, syok sendiri, merapu dan biadab. Ia luahan tanpa
tapisan yang teliti. Perkiraan utama mereka mungkin adalah sama ada ia boleh
dijual atau tidak. Ia ditulis lebih kepada memenuhi selera dan permintaan
masyarakat. Jika ditelusuri, karya-karya sebegini adalah produk daripada
keadaan masyarakat. Jika masyarakat kacau-bilau, misalnya krisis politik atau
kekacauan dalam memahami agama, perkara-perkara sebeginilah yang bermain dalam
tulisan mereka. Ia bukanlah karya yang akan mengubah pemikiran masyarakat
kepada pemikiran tertentu atau melahirkan jalan penyelesaian kepada
permasalahan yang sedia ada.Ia sebenarnya adalah produk dari keadaan
masyarakat, suatu refleksi atau tindak balas sosial. Luahan-luahan golongan
muda dan golongan yang selama ini tidak dapat menyatakan pandangan mereka
kerana tiada medium untuk menyampaikannya. Ia adalah ekspresi diri mereka
berkenaan sesuatu perkara. Ia adalah jeritan-jeritan manusia yang dibelasah
oleh kehidupan dunia moden hari ini.
Jika
pada masa dahulu lakaran grafiti ditulis secara menyorok untuk meluahkan
ketidakpuasan hati seperti di dinding, tandas awam dan tempat-tempat awam yang
lain kerana perasaan malu dan takut dikenakan tindakan, hari ini ia telah
dilakukan secara terbuka melalui penerbitan buku-buku. Seiring dengan dunia
yang semakin bebas, ramai orang bebas bercakap dan meluahkan perasaan, makna nilai-nilai
seni dan sastera tulisan-tulisan ini juga semakin kabur. Bahkan seni berbahasa
yang halus ini telah diganti dengan caci-maki, sumpah-seranah dan maki-hamun
sebagai ekspresi diri kepada sesuatu yang tidak disukai mereka. Dahulu orang
menyampaikan kemarahannya secara berkias, tetapi di dalam penulisan indie ini,
ia lebih banyak disampaikan secara terang tanpa selindung. Tiada lagi seni
dalam menyampaikan sesuatu pandangan, bahkan bahasa slanga yang kasar telah
menjadi suatu seni kepada mereka seolah-olah siapa yang paling lantang dan
keras bahasanya, dialah yang hebat.
Ahli
politik, agamawan, sosiologis, psikologis dan sebagainya patut membaca
karya-karya indie sebegini untuk memahami permasalahan atau pemikiran yang ada
dalam masyarakat, misalnya bagaimana manusia moden hari ini berfikir dan
memandang dunia hari ini. Tulisan-tulisan ini adalah cerminan apa yang
sebenarnya berlaku dalam masyarakat, baik ataupun buruk. Ia bukanlah sebab,
tetapi ia adalah akibat daripada kehidupan dunia moden hari ini. Ia adalah
hasil atau produk daripada keadaan zaman hari ini. Ia tidak mengubah apa-apa.
Ia mungkin tidak akan mengubah keadaan, tetapi ia sendiri adalah mangsa
keadaan. Ia bukan ubat, tetapi adalah simptom-simptom penyakit dalam masyarakat
jika masyarakat itu berpenyakit.
Kesimpulannya
karya-karya indie ini tidaklah negatif atau buruk ,tetapi apa yang mahu
dijelaskan di sini, ia adalah cerminan apa yang ada dalam masyarakat. Namun
sudah pasti juga terdapat karya-karya indie yang bagus dan elok.
APA ITU DRAMA ADAPTASI ?
Penerbitan
drama adaptasi daripada novel popular telah menjadi fenomena. Pengarah dan
penerbit berlumba-lumba mengadaptasi novel kerana drama adaptasi mendapat
sambutan yang memberangsangkan. Ini juga dikatakan satu persaingan positif
industri penerbitan drama negara ini. Namun banyak filem dan drama yang
dihasilkan adalah melalui adaptasi daripada novel-novel cinta remaja yang tidak
mempunyai nilai pemikiran yang tinggi. Jarang sekali filem serta drama yang
diadaptasi daripada novel-novel yang dihasilkan oleh sasterawan hebat antaranya
Sasterawan Negara (SN).Hakikatnya membikin sebuah filem dan drama daripada
novel merupakan satu perkara yang cukup sukar.
Apabila
sesebuah novel diadaptasi ke filem, maka ia adalah sebuah karya baharu yang
menuntut alam dan pemikiran baharu. Barangkali semangat dan motifnya menjadi
begitu berbeza dan ini sering mengganggu penulis novel.Ini belum lagi novel
besar jatuh ke tangan pengarah kerdil pemikirannya cuma bercita-cita besar.
Hasilnya novel besar dirasakan hanyut bersama ketidaksampaian pengarah yang
kerdil tadi.Proses interpretasi daripada naratif teks kepada visual tidak boleh
berlaku secara mudah. Ini bukan sekadar memindahkan tetapi di tengah-tengahnya
harus ada interpretasi baharu. Penulis novel wajar menerima hakikat bahawa novelnya
akan melahirkan karya baharu.
Maksud
adaptasi adalah membaca karya novel asal kemudian menghasilkan skrip hasil
interpretasi dan dibawa dalam bentuk visual (filem/drama).Namun karya adaptasi
yang dilakukan oleh pengarah tempatan tidak ubah seperti menyalin bulat-bulat
apa yang terkandung di dalam novel asalnya.Penulis skrip hanya menghasilkan
skrip daripada apa yang ada di hadapan mata sahaja menyebabkan kebanyakan skrip
dan drama tidak membawa jiwa dan pemikiran pengarang.Sebab itu hanya pengarah
hebat saja mampu mengadaptasi novel yang hebat. Pengarah sememangnya boleh
menambah, mencantas atau mengalih tumpuan sesebuah novel. Tetapi kerja
mencantas memerlukan ilmu. Tanpa ilmu mencantas atau menambah seumpama tikus
memperbaiki labu. Maka kebebasan itu bukanlah sembarangan orang boleh
melakukan.
Bagi
pengarah Kamal Ishak, hal ini tidak ubah seperti memindah karya asal novel
kepada bentuk visual semata-mata - tiada yang lebih atau tiada yang kurang.Jelas
Kamal, sepatutnya penulis skrip adaptasi perlu memahami kehendak penulis asal
novel tersebut dan menghasilkan satu bentuk wacana baru.Sepatutnya penulis
skrip adaptasi ini perlu bijak dan bukan hanya memindahkan cerita asal novel ke
dalam skrip. Itu hanya menyalin karya asal bukannya adaptasi. Sepatutnya
diselitkan satu wacana dan pemikiran baru, biar skrip adaptasi itu ada jiwanya
yang tersendiri dan itu barulah yang dinamakan adaptasi.Penulis perlulah
menjadi seorang pemikir dan bukannya ambil karya novel bulat-bulat,"
jelasnya pada Seminar Hak Cipta Dari Novel Ke Skrin di Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP), Kuala Lumpur, Rabu lalu. Bagi Kamal, penulis skrip merupakan orang yang
paling penting dalam proses penghasilan karya adaptasi. Skrip yang ditulis itu
akan dijadikan panduan utama kepada pengarah dalam proses pengvisualan.
Tiada pengarah yang
membawa novel asal ke set penggambaran sebagai panduan, skrip yang dihasilkan
oleh penulis skrip merupakan panduan serta faktor utama kejayaan sesebuah filem
adaptasi itu.
Bagi
pengarah, Sabri Yunus, untuk menghasilkan drama adaptasi pengarah perlu bijak
melaksanakan tugasnya dalam membuat interpretasi karya asal.Seperti yang
dilakukannya dalam novel Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman (HHTSS), Sabri
memberitahu, kerja adaptasinya sangat sukar untuk membawa pemikiran pengarang
dalam medium berbeza. “Saya akui ada juga yang tidak suka dengan apa yang saya
tambah dan hasilkan melalui drama HHTSS. Namun saya boleh berpuas hati dengan
hasilnya.Adaptasi daripada novel ke skrip memang ternyata tiada masalah tetapi
daripada skrip ke bentuk kepada drama merupakan satu cabaran yang besar. Banyak
penonton hanya menumpukan kepada pelakon dan cerita sahaja, bahasa filem mereka
semua tidak peduli.Barangkali pengarah yang menghasilkan karya adaptasi
daripada novel pop tiada masalah tetapi untuk adaptasi novel besar seperti ini
memang cukup sukar," ujarnya.
No comments:
Post a Comment